Lokasi: Taman Botanikal Ayer Keroh dan Taman Rekreasi Ayer Keroh
Peserta: 18 lelaki dan 17 perempuan
Kem Remaja Kental merupakan satu program anjuran IkramTeens Melaka sempena dengan cuti akhir tahun. Tema kem adalah 'From Zero to Hero'. Kem ini bertujuan melonjakkan peribadi remaja daripada biasa menjadi luar biasa. Kemampuan remaja terbatas? Itu bukan masalah! Sebab bila di tengah keterbatasan itu mereka mampu mengubah atau mentransformasikan diri untuk meraih prestasi yang lebih tinggi lalu menjadi remaja cemerlang dan terbilang. Zero to Hero!
Objektif:
1. Mendedahkan remaja kepada aktiviti luar yang lasak supaya mereka tahan lasak daripada segi fizikal.
2. Memberi kemahiran survival seperti membuat rakit, kembara malam, sembelih ayam dan paint balls game.
3. Mendekatkan remaja dengan alam sekitar dan menanamkan semangat supaya cintakan alam sekitar.
4. Mempraktikkan ciri-ciri remaja yang kental.
5. Mendekatkan hubungan dengan Allah melalui aktiviti kerohanian.
6. Memupuk semangat kerjasama antara remaja merentas pelbagai umur dan latarbelakang.
Aktiviti:
Hari Pertama:
8.30 - 9.00 pagi: Pendaftaran peserta
9.00 - 10.00 pagi: Taklimat peserta dan ice breaking. Bukan satu kerja yang mudah untuk menceriakan peserta yang langsung kelihatan tidak ceria. Mungkin masing-masing datang ke kem atas permintaan ibu dan ayah. Akhirnya berjaya juga Abang Nabil menceriakan keadaan.
10.00 - 1.00 tgh: Team Building - Bina rakit dan mendayung rakit di Tasik Taman Rekreasi Ayer Keroh. Peserta diberi tunjuk ajar oleh jurulatih pengalaman Pak Hassan tentang cara mengikat rakit dengan betul. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan rakit. Semua peserta mengambil bahagian untuk mengikat setiap bahagian rakit. Setelah itu peserta menaiki rakit dan mendayung rakit tersebut ke seberang tasik pergi dan balik.
Aktiviti ini dapat melatih peserta semangat berkerjasama saling kenal mengenal sesama peserta, patuh pada arahan ketika berinteraksi antara satu sama lain. Semasa mendayung, peserta peka pada keadaan sekeliling tasik seperti padang golf, zoo dan kolej yang kesemuanya milik orang bukan Islam. Pak Hassan kata, "Melayu jangan lupa tetapi Melayu mudah lupa." Di sekolah kita lupa diri, di rumah kita lupa ibubapa, lupa tanggungjawab pada diri, lupa untuk solat dan lain-lain lagi. Beliau menasihatkan peserta supaya jangan terbabas dengan kebebasan yang ada. Kena berfikir lebih jauh, kenal siapa diri kita dan kenal siapa Allah yang menjadikan kita.
1.00 - 2.00 ptg: Peserta mengerjakan solat Zuhur berjemaah. Mereka bergegas ke tandas untuk mengambil wuduk. Malangnya tiada bekalan air di dalam tandas. Keputusan dibuat supaya peserta berjalan kaki ke pusat belia di hadapan tasik untuk solat jemaah di surau. Tetapi timbul idea untuk mengambil wuduk menggunakan air mineral yang dibeli di tepi jalan. Abang Nabil mengajar peserta mengambil wuduk daripada botol air mineral dan mereka perlu berjimat menggunakan air. Alhamdulillah 6 botol mineral yang besar cukup untuk keperluan wuduk 40 peserta. Malahan air yang lebih diminum sebagai penghilang dahaga. Kesimpulannya, kita sebenarnya boleh berjimat cermat menggunakan air sewaktu wuduk sekiranya kita mahu.
Peserta solat jemaah di atas rumput di taman rekreasi. Pengajarannya walau apa pun masaalah dan di mana saja kita berada solat wajib dilaksanakan. Begitu indahnya rasa hati dapat sujud terus di atas bumi Allah ini tanpa sebarang alas. Terasa dekat sangat dengan Allah..
2.00 - 7.00 mlm: Aktiviti sembilih ayam. Peserta diajar cara memotong ayam oleh Abang Nabil. Setiap kumpulan diberi peluang memotong seekor ayam yang dibeli daripada kedai ayam di Duyong. Harganya hanyalah RM 7 seekor. Ayam yang disembelih itu diproses iaitu membuang bulu dan memotong ayam kepada bahagian yang kecil. Aktiviti ini diharapkan dapat memberi kemahiran kepada peserta pentingnya ilmu survival bagi mencari makanan di hutan. Semoga peserta lebih menghargai nikmat Allah kerana selama ini mereka mudah mendapat makanan samada disediakan oleh ibu di rumah atau beli di kedai-kedai makan.
Bahan-bahan untuk memerap ayam sebelum dijadikan barbeque diedarkan pada kumpulan. Peserta juga membuat roti yang dipintal pada ranting kayu menggunakan tepung yang dibawa. Roti itu akan dibakar. Semua ayam dan roti telah berjaya dimasak sebelum maghrib.
Saat dinantikan ialah sesi makan malam ayam barbeque yang disembelih dan dimasak sendiri oleh peserta. Satu pengalaman baru yang mereka alami. Memang lazat sekali.
8.00 - 9.00 mlm: Setelah solat Maghrib berjemaah, peserta diberi pengisian ilmu oleh ummi Kamariah yang bertajuk Cinta Alam Sekitar. Satu perkongsian yang menarik tentang hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar.
9.00 - 10.30 mlm: Peserta mengerjakan solat Isyak berjemaah. Sekali lagi peserta dihidangkan dengan pengisian ilmu bertajuk Remaja Kental - from Zero to Hero yang disampaikan oleh Dr Hadharami. Antara ciri remaja kental ialah berani, bijak dan tahan lasak. Remaja perlu mengikut contoh tauladan daripada para sahabat seperti Umar, Ali dan Asma' Abu Bakar.
11.00 - 12.30 mlm: Aktiviti Kembara Malam yang dikendalikan oleh pengurusan Taman Botanikal yang diketuai oleh Pak Hassan. Aktiviti bertujuan untuk melatih peserta supaya menjadi seorang yang berani dan yakin pada diri sendiri. Kata Pak Hassan, "lihatlah apa yang kamu nak lihat dan lihat apa yang kamu tak nak lihat. Dengar apa yang kamu nak dengar dan dengar apa yang kamu tak nak dengar. Fikir apa yang kamu nak fikir dan fikir apa yang kamu tak nak fikir." Maksud lihat apa yang tak nak lihat ialah kita lihat dalam diri kita semula yang selalunya kita tidak ada masa untuk muhasabah diri. Maksud dengar apa yang kamu tak nak dengar ialah kita dengar zikir-zikir yang kita baca sewaktu berjalan malam tu sebab selalunya kita jarang atau tidak pernah berzikir. Maksud fikir apa yang kamu tak nak fikir ialah kita fikirkan tentang kebesaran Allah dan Allahlah tempat kita bergantung yang selalu kita lupa. Beliau mengingatkan peserta supaya sentiasa ingat pada Allah dengan banyakkan berzikir sewaktu berjalan. Ingat Allah bukan hanya ketika bila kita dalam susah sahaja tetapi kena sentiasa ingat Allah di hati kita.
Hari Kedua:
4.30 - 6.30 pagi: Peserta bangun seawal pagi untuk mengerjakan qiamulail berjemaah dan seterusnya solat subuh. Alhamdulillah, walaupun semalam mereka tidur lewat malam, mereka tetap gigih mengerjakan qiamulail. Semoga mereka terus istiqamah mengerjakannya bila balik nanti.
6.30 - 7.30 pagi: Aktiviti Explorace Tarbiyah Hati. Ada 6 station explorace. Antaranya peserta diminta menghafal ayat 190-191 Ali Imran, menyanyi lagu ingat Allah, kuiz uji minda dan sesi menyuci hati yang kotor. Mengapa ayat itu? Kerana Allah mengatakan, "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka."
Menyuci hati umpama membersihkan air dalam cawan yang dicemari kicap. Perlu dimasukkan air berkali-kali sehingga air kicap yang hitam tadi putih bersih. Begitulah hati perlu dicuci berterusan tanpa rasa malas dan jemu melalui zikir, bacaan quran, solat dan sentiasa bertaubat. Kita kena berhenti membuat dosa, berusaha bersungguh-sungguh, jangan putus asa dan istiqamah dalam mujahadah membuat kebaikan.
9.00 - 12.00 tgh: Aktiviti Paint-balls di Taman Rekreasi Ayer Keroh. Ini antara aktiviti yang dinantikan oleh peserta. Mereka begitu bersemangat sekali. Teringat bagaimana para sahabat Rasulullah saw berjihad dengan sepenuh jiwa raga mereka demi mempertahankan kesucian Islam. Harap peserta tidak main 'paint balls' sekadar berseronok-seronok mengisi aktiviti kem. Tetapi mereka harus menanamkan semangat dan tekad untuk sentiasa mempertahankan dan memperjuangkan Islam dengan ikhlas, berani, lasak dan mengambil berat tentang melakukan kerja yang terancang dan berstrategi. Ingat kita baru main paint-balls tapi remaja di Gaza betul-betul baling batu menentang Zionis Yahudi.
12.00 - 2.00 ptg: Peserta lelaki mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al Alami sementara peserta perempuan solat zuhur berjemaah di dewan. Peserta memang letih sekali tetapi masih tabah menyiapkan diri untuk ke masjid.
2.30 - 3.30 ptg: Sesi terakhir adalah sessi resolusi kem remaja kental. Peserta berada dalam kumpulan masing-masing dan membincangkan apakah tindakan mereka selepas balik daripada kem nanti. Alhamdulillah antaranya ialah solat awal waktu, bangun awal, sentiasa berfikiran positif dan istiqamah dalam pelajaran. Tarikh mula tindakan ialah 16 November 2012 dan tarikh luput ialah kekal in sya Allah sepanjang hayat. MasyaAllah.
SEMOGA BERJUMPA LAGI DI PROGRAM AKAN DATANG. ISTIQAMAH DALAM AMALAN KITA. FROM ZERO TO HERO.
Lagi gambar-gambar menarik: https://www.facebook.com/media/set/?set=a.426533317399975.97143.133485886704721&type=3
No comments:
Post a Comment